KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan mengadakan mesyuarat esok bagi membincangkan dan memutuskan pendirian serta tindakan susulan parti berhubung isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, mesyuarat itu diadakan susulan perkembangan berkaitan pelaksanaan baki hukuman Najib secara tahanan rumah.
“Sehubungan itu, satu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan diadakan esok untuk membincang dan memutuskan pendirian dan tindakan susulan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
CEC merupakan badan pembuat keputusan tertinggi DAP yang bertanggungjawab menetapkan hala tuju dan dasar parti.
Dalam kenyataan sama, Anthony Loke menegaskan pendirian DAP konon skandal 1MDB memberi kesan besar terhadap imej negara serta kepercayaan rakyat dan pelabur terhadap institusi pentadbiran.
Beliau malah mendakwa kononnya kesan kewangan berkaitan 1MDB masih ditanggung negara dan rakyat sehingga hari ini.
Anthony Loke berkata, DAP juga berpandangan kemarahan rakyat terhadap skandal 1MDB merupakan antara faktor yang menyumbang kepada perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Dalam pada itu, Anthony Loke mendakwa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh telah menyampaikan pendirian dan pandangan yang selaras dengan prinsip perjuangan parti ketika menjalankan tanggungjawabnya sebagai anggota Lembaga Pengampunan.
Dakwa beliau, pandangan berkenaan disampaikan Hannah Yeoh secara jujur dan berterus terang demi kepentingan negara.
Pada masa sama, Anthony Loke berkata, DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, parti itu akan terus menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan keluhuran Perlembagaan, selain mempertahankan kedaulatan undang-undang serta pendirian parti dalam isu rasuah. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Democratic Action Party


