KUALA LUMPUR – Keputusan memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibuat melalui proses Perlembagaan dan Lembaga Pengampunan, bukannya keputusan unilateral Perdana Menteri atau Kerajaan Persekutuan.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, dari sudut Perlembagaan, kuasa pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan terletak pada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan melalui proses Lembaga Pengampunan.
“Keputusan pengampunan bersyarat ini ialah keputusan melalui proses Perlembagaan dan Lembaga Pengampunan, bukannya keputusan unilateral Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 pada Jumaat memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman kes SRC International secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Mohd Hisyamuddin seterusnya mendakwa, keputusan pengampunan bersyarat yang diumumkan hari ini hanya melibatkan pelaksanaan baki hukuman Najib dalam kes SRC International dan tidak menentukan kedudukan proses rayuan dalam kes 1MDB.
Beliau mendakwa, setakat 18 September 2026, belum ada undang-undang khusus mengenai tahanan rumah yang telah berkuat kuasa, manakala Rang Undang-Undang Penjara (Pindaan) 2026 masih dalam proses penelitian Parlimen. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Syam Ghaz


