KUALA LUMPUR – Laman Facebook Datuk Seri Najib Tun Razak menyiarkan semula kenyataan lama bekas Perdana Menteri itu pada 2020 berhubung isu pelarian Rohingya, susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengaitkan Najib dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan isu berkenaan.
Menerusi hantaran itu, laman Facebook Najib Razak memetik penjelasan Najib pada 2020 bahawa perhimpunan yang dianjurkan bersama PAS ketika beliau mengetuai kerajaan bertujuan mendesak kerajaan Myanmar menghentikan kekejaman terhadap etnik Rohingya.
Menurut kenyataan lama yang disiarkan semula itu, matlamatnya adalah supaya kekejaman terhadap Rohingya dihentikan, sekali gus mengelakkan mereka daripada terpaksa melarikan diri ke Malaysia.
“Kita tak buat perhimpunan untuk suruh semua pelarian Rohingya untuk datang ke Malaysia. Tahukah perbezaannya?” menurut petikan kenyataan lama Najib yang dimuat naik di laman Facebook berkenaan.
Hantaran itu dibuat selepas Anwar dalam podcast Sembang Ohh Yeahh mengaitkan Najib dan Abdul Hadi dengan perhimpunan solidariti Rohingya pada Disember 2016.
Anwar mendakwa perhimpunan besar ketika itu diadakan bagi mengalu-alukan kehadiran Rohingya dan meminta pengguna media sosial memainkan semula ucapan pemimpin yang terlibat pada waktu berkenaan.
“Kita lihat sejarahnya. Dulu ada perhimpunan besar diketuai Datuk Seri Najib dan Tan Sri Hadi untuk mengalu-alukan kehadiran mereka. Sekarang ternyata mereka jadi beban,” dakwa Anwar. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Najib Razak

