SEREMBAN – Dewan Keadilan dan Undang (DKU) mendakwa keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bil. 6/2026 adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan tiada kesan undang-undang kerana Exco mahupun kerajaan negeri tiada bidang kuasa menentukan takhta.
Melalui satu kenyataan media, DKU melalui peguam caranya mendakwa tindakan itu sebagai penderhakaan dan cubaan rampasan kuasa yang melanggar Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 serta mencabar perintah injunksi Mahkamah Tinggi Seremban.
“DKU turut menegaskan bahawa Proklamasi 19 April 2026 kekal cacat sejak awal kerana ketiadaan siasatan penuh mandatori dan ditandatangani oleh individu yang tidak sah memegang jawatan Undang.
“Sehubungan itu, semua pegawai kerajaan negeri dilarang sama sekali bertindak atas arahan dokumen haram berkenaan, manakala hak prerogatif adat dan kedudukan Raja Pemerintah berada di bawah kuasa eksklusif DKU mengikut Perkara XVI UUTKNS 1959 yang muktamad dan tidak boleh dicabar,” kata kenyataan itu hari ini.
Dakwa kenyataan tersebut, kedudukan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir kekal sah dan berdaulat sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tanpa sebarang kekosongan takhta.
“Usaha menunggang proklamasi politik demi menjatuhkan institusi diraja bukan sahaja merobek perlembagaan negeri, malah berdepan tindakan prosiding menghina mahkamah dan undang-undang jenayah,” dakwa kenyataan itu lagi. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Undang Berkhalifah


