KUALA LUMPUR – Senaman Yoga yang menggabungkan amalan fizikal dengan unsur keagamaan dan pemujaan bagi tujuan tertentu adalah haram menurut syariat Islam dan umat Islam dilarang mengamalkannya.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menerusi hantaran di media sosial memaklumkan ketetapan berhubung perkara itu telah diputuskan menerusi Warta Kerajaan pada 2 April 2009.
Menurut JAWI, Yoga membawa maksud kesatuan, sambungan atau penyatuan roh individu dengan roh alam semesta.
Katanya, senaman itu berpunca daripada falsafah agama Hindu yang antara lain dikaitkan dengan usaha melepaskan diri daripada lingkaran samsara, pembebasan daripada karma dan mencapai peringkat moksha.
“Di samping itu juga, Yoga juga bertujuan untuk menyatukan diri dengan Tuhan dengan mengheningkan fikiran melalui senaman, gerakan badan dan pembacaan tertentu.
“Warta Kerajaan pada 2 April 2009 memutuskan senaman Yoga yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan dan pemujaan bagi tujuan tertentu adalah haram menurut syariat Islam dan dilarang beramal dengannya,” menurut hantaran itu.
Dalam pada itu, JAWI mengingatkan umat Islam bahawa manusia tidak dilahirkan kembali dalam bentuk lain, sebaliknya akan menempuhi kehidupan di alam seterusnya iaitu alam Barzakh.
Jabatan itu merujuk Surah al-Mukminun ayat 99 hingga 100 yang antara lain menerangkan mengenai keadaan manusia selepas kematian sehingga dibangkitkan semula.
JAWI turut menegaskan ketenangan jiwa dan kekuatan spiritual bagi umat Islam datang daripada mengingati Allah SWT.
“Hati ini akan tenang dengan berzikir kepada Allah SWT dan inilah cara digariskan buat umat Islam,” katanya sambil merujuk Surah al-Ra’d ayat 28.
Sehubungan itu, JAWI mengingatkan semua umat Islam supaya mematuhi ketetapan hukum yang telah diputuskan dan memberi amaran bahawa sebarang pelanggaran boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 559.
Masyarakat juga dinasihatkan supaya berwaspada terhadap sebarang aktiviti atau senaman yang mempunyai unsur kepercayaan agama lain, mistik serta perkara yang bertentangan dengan akidah dan syariat Islam. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan – JAWI


