KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggantung pemakaian baju oren bagi Orang Kena Siasat (OKS) yang dibawa ke mahkamah bagi tujuan permohonan reman berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, langkah itu diambil susulan perkembangan terkini dan saranan semasa berkaitan tatacara pengendalian OKS, khususnya ketika proses membawa mereka ke mahkamah.
Menurutnya, OKS kini dibenarkan memakai pakaian biasa ketika dibawa ke mahkamah.
“Pemakaian baju lokap hanya terpakai sepanjang tempoh OKS berada dalam tahanan di lokap,” katanya dalam kenyataan.
Abd Halim berkata, bagi pemakaian gari pula, ia bergantung kepada keadaan tertentu.
Katanya, pengecualian diberikan kepada OKS yang uzur, Orang Kurang Upaya (OKU), kanak-kanak dan warga emas.
Bagaimanapun, beliau menegaskan SPRM akan terus mengambil langkah berjaga-jaga serta memastikan kawalan keselamatan dilaksanakan dengan sewajarnya dalam setiap proses pengendalian OKS.
“SPRM kekal komited bagi memastikan setiap tindakan yang diambil dalam pengendalian OKS dilaksanakan secara profesional, berintegriti, berhemah dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta prosedur yang ditetapkan,” katanya. – MYNEWSHUB


