GEORGE TOWN – Perayaan Teong Guan Phor Thor yang dikenali sebagai ‘Hungry Ghost Festival’ diiktiraf sebagai Warisan Negeri
dalam usaha kerajaan Pulau Pinang memperkukuh pemeliharaan khazanah sejarah dan budaya negeri.
Selain itu, enam tapak bersejarah turut diiktiraf sebagai Tapak Warisan di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 termasuk Makam Dato Koyah di Jalan Transfer; Stesen Atas dan Stesen Bawah serta Landasan Funikular Bukit Bendera.
Tapak bersejarah lain adalah Tokong Thai Pak Koong (Ng Suk), Lebuh King; Bangunan Persatuan Fooi Chew, Lorong Prangin; Tokong Loo Pun Hong, Lorong Love dan Tanah Perkuburan Kwangtung & Tengchow No. 1, Jalan Mount Erskine.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan warisan kebudayaan terus dipelihara sebagai sebahagian daripada identiti Pulau Pinang.
“Warisan bukan sekadar tinggalan masa lalu, ia adalah identiti yang menghubungkan generasi terdahulu dengan generasi hari ini, dan amanah yang perlu kita wariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Menurut Kon Yeow, usaha berkenaan dilaksanakan melalui Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang dengan mengenal pasti warisan kebudayaan yang menjadi cerminan identiti negeri untuk diangkat sebagai Warisan Negeri.
Jelas beliau, pencalonan itu melalui saringan dan tapisan terperinci oleh pakar menerusi Jawatankuasa Pakar Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (Sosiobudaya) sebelum mendapat pengesahan Majlis Warisan Negeri dan kelulusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Tambah beliau, usaha itu bukan sekadar bertujuan memelihara dan memulihara satu amalan tradisi, sebaliknya turut mengangkat kepelbagaian perayaan masyarakat majmuk sebagai sebahagian daripada identiti Pulau Pinang..
Kon Yeow seterusnya memaklumkan Majlis Perisytiharan Warisan Negeri dan Penetapan Tapak Warisan akan diadakan pada 10 Oktober 2026 bagi penetapan secara rasmi. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Chow Kon Yeow


