KUALA LUMPUR – Sekadar menasihatkan pemandu supaya lebih berhati-hati di jalan raya tidak mencukupi untuk menangani isu kemalangan dan kehilangan nyawa, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim.
Menurut Zaid, nasihat Perdana Menteri supaya pemandu lebih berhati-hati selepas kejadian kemalangan maut di Temerloh, Pahang boleh diberikan oleh sesiapa sahaja, sedangkan isu keselamatan jalan raya memerlukan tindak balas dasar yang lebih menyeluruh.
“Selepas beberapa perlanggaran di Temerloh yang menyebabkan kematian dan kecederaan, nasihat anda adalah supaya pemandu lebih berhati-hati. Sesiapa sahaja boleh memberikan nasihat itu,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Zaid berkata, negara mempunyai lebih 23 juta kenderaan di jalan raya, manakala kira-kira 140,000 kenderaan baharu didaftarkan setiap bulan.
Justeru, beliau berpandangan kebergantungan terhadap kereta dan motosikal memerlukan tindak balas dasar segera daripada kerajaan, khususnya dalam menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih berkesan.
“Apakah dasar jangka panjang anda mengenai pengangkutan awam? Mengapa anda memberikan pinjaman mudah untuk membeli kereta? Mengapa syarikat kereta mendapat pelbagai bentuk insentif?
“Mengapa AP begitu mudah diperoleh untuk mengimport kereta?” soalnya.
Menurut Zaid, Perdana Menteri perlu melihat jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sebagai satu masalah serius yang memerlukan tindakan segera.
Beliau mencadangkan kerajaan memanggil mesyuarat khas membabitkan pakar pengangkutan jalan raya bagi merangka pelan yang berbeza daripada pendekatan menghasilkan lebih banyak kereta, membina lebih banyak lebuh raya bertingkat dan menawarkan insentif membeli kenderaan.
“Lancarkan projek baharu. Selamatkan nyawa di jalan raya. Tunjukkan sedikit kesegeraan dan bukannya sekadar memberikan nasihat mudah,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Datuk Mohd Zaid Ibrahim


