KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan tindakan pihak tertentu mengaitkan cadangan mewujudkan Hospital Mara dengan isu perkauman.
Menurutnya, selepas 60 tahun Mara membangunkan modal insan termasuk melahirkan ribuan doktor serta membentuk ekosistem pendidikan kesihatan yang lengkap, sudah tiba masanya idea berkenaan dikembangkan untuk memberi manfaat kepada semua.
“Saya tak faham kenapa cadangan mewujudkan Hospital Mara dikaitkan dengan perkauman. Selepas 60 tahun, dengan beribu doktor dilahirkan, ekosistem pendidikan kesihatan lengkap, idea ini dikembangkan untuk manfaat semua,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Asyraf Wajdi berkata, Mara ketika ini mempunyai ekosistem pendidikan berkaitan kesihatan yang merangkumi pelbagai institusi serta bidang kepakaran, antaranya UniKL Royal College of Medicine Perak yang menawarkan kursus kedoktoran, kejururawatan, farmasi, fisioterapi, pengimejan perubatan dan psikologi.
Katanya, UniKL MESTECH di Bangi pula menawarkan bidang berkaitan sains kesihatan dan makmal, manakala UniKL BMI di Gombak mempunyai program kejuruteraan berkaitan kesihatan termasuk penyelenggaraan kejuruteraan bioperubatan.
Selain itu, UniKL MITEC menawarkan kursus penyelenggaraan peralatan perubatan dan kesihatan, sementara UniKL MFI mempunyai kursus teknologi kejuruteraan berkaitan sistem penyaman udara yang diperlukan dalam sektor kesihatan.
Ekosistem berkenaan turut melibatkan KPTM Kota Bharu yang menawarkan Diploma Kejururawatan serta KKTM Ledang yang mempunyai program Kejuruteraan Elektronik Bio-Perubatan bagi melahirkan tenaga terlatih dalam penyelenggaraan mesin dan peralatan perubatan.
KKTM Sri Gading pula menawarkan program berkaitan penyelenggaraan dan teknologi bangunan termasuk untuk hospital, manakala KKTM Lenggong menyediakan latihan dalam bidang ubat-ubatan herba dan perubatan alternatif.
Asyraf Wajdi berkata, Bahagian Penajaan Mara juga terus menawarkan pembiayaan pengajian kepada pelajar dalam bidang perubatan dan kesihatan sehingga ke peringkat sarjana, PhD serta doktor pakar.
Menurut beliau, sehingga kini tidak kurang 45,000 tenaga dalam bidang berkenaan telah dilahirkan menerusi Mara.
Dalam perkembangan sama, Asyraf Wajdi menegaskan beliau tidak akan berpatah balik daripada usaha merealisasikan cadangan Hospital Mara dan sebuah pasukan khas telah dibentuk bagi meneliti perkara berkenaan.
“Ya, saya tidak pernah akan menoleh ke belakang lagi. Pasukan khas telah dibentuk dan saya amanahkan kepada Timbalan Ketua Pengarah Mara, Dr Mahzan untuk mengepalainya.
“Insya-Allah semua aspek akan diteliti dan pandangan pakar-pakar akan digemblengkan termasuk doktor-doktor pakar daripada pelbagai hospital awam dan swasta yang menyatakan kesediaan untuk membantu memandangkan mereka semua bekas anak tajaan Mara. Ini masanya untuk membalas jasa Mara,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI


