KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkuat kuasa hari ini, 31 Ogos 2026.
Kian Ming yang menyertai DAP sejak 2012 memaklumkan keputusan itu menerusi surat yang ditujukan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dengan salinan kepada Setiausaha Organisasi Kebangsaan parti, Khoo Poay Tiong.
“Saya menulis untuk memaklumkan bahawa saya akan meletak jawatan sebagai ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkuat kuasa 31 Ogos 2026,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Sepanjang 14 tahun bersama DAP, Kian Ming pernah menjadi Ahli Parlimen Serdang dari 2013 hingga 2018 sebelum mewakili Bangi dari 2018 hingga 2022.
Beliau turut dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dari 2018 hingga 2020, selain pernah menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang dilantik dari 2019 hingga 2022.
Kian Ming juga pernah menjadi ahli Jawatankuasa DAP Selangor yang dipilih dari 2018 hingga 2024.
Dalam kenyataan sama, beliau merakamkan penghargaan kepada bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang menurutnya bertanggungjawab menjemput beliau menyertai DAP selain banyak memberi panduan sepanjang berada dalam parti itu.
Beliau turut berterima kasih kepada bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kerana memberinya peluang dicalonkan di kerusi Parlimen Serdang dan Bangi serta dilantik sebagai Timbalan Menteri.
“Saya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan ahli dan pemimpin DAP di Serdang dan Bangi semasa penggal saya sebagai Ahli Parlimen dari 2013 hingga 2022, berkhidmat untuk pengundi dan penduduk kawasan tersebut sebagai wakil rakyat mereka,” katanya.
Bagaimanapun, Kian Ming menegaskan beliau tidak mempunyai rancangan untuk menyertai mana-mana parti politik lain dalam masa terdekat selain tidak berhasrat menawarkan diri sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Namun, Kian Ming berkata beliau tetap komited dengan janji yang dibuat pada 10 Januari lalu untuk membantu bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkempen pada PRU16 sekiranya bekas Ahli Parlimen Rembau itu diberikan kerusi untuk bertanding.
“Saya tetap komited untuk menunaikan janji yang telah saya buat pada 10 Januari 2026, untuk membantu Khairy Jamaluddin berkempen dalam PRU16, jika beliau diberi kerusi untuk bertanding,” katanya.
Kian Ming berkata beliau akan terus menyumbang kepada negara menerusi saluran lain termasuk podcastnya, Are We OK, pelbagai jawatan penasihat serta kerjasama dengan individu yang berkongsi pemikiran dan minat sama. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Dr. Ong Kian Ming

