KUALA LUMPUR – Penyanyi kumpulan rock terkenal Bumiputra Rockers, Johari Mat Rozekhi atau lebih dikenali sebagai Joey, 63, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.
Memetik laporan media, Joey mengadakan persembahan di Laman Santai, Istana Budaya, semalam dengan menyanyikan dua lagu sebelum rebah lalu dikejarkan ke HKL dengan ambulans.
Berdasarkan laporan tersebut, Joey mengalami pendarahan dan komplikasi jantung tersumbat.
Sementara itu, pemilik akaun media sosial Azlien Donna Wan Pa yang mengaku sebagai adik ipar Joey mengesahkan pemergian penyanyi tersebut.
Menurutnya, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.11 pagi akibat serangan jantung.
“Abang ipar saya, Johari Mat Rozekhi, Joey BPR telah meninggal dunia jam 8.11 pagi tadi akibat serangan jantung. Meninggal dunia di HKL.
“Mohon sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan mengampuni segala dosanya.
“Moga isteri beliau, Puan Zarina tabah menghadapi kehilangan ini,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Pemergian Joey merupakan satu kehilangan buat industri muzik tanah air, khususnya peminat muzik rock yang mengikuti perjalanan Bumiputra Rockers. – MYNEWSHUB


