KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) mula menggerakkan pasukan khas bagi merealisasikan agenda penubuhan Hospital MARA sebagai sebahagian usaha memperluas ekosistem perkhidmatan kesihatan agensi itu.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah tersebut disokong oleh ekosistem sedia ada MARA yang merangkumi rangkaian perkhidmatan kesihatan serta institusi pendidikan dalam bidang perubatan.
“Pasukan khas menggerakkan agenda penubuhan Hospital MARA sudah dimulakan.
“MARA punya ekosistem lengkap untuk sebuah hospital dengan 160 cawangan UniKlinik, UniFarmasi, UniDental, UniKL RCMP lahirkan doktor, KPTM latih jururawat,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Sebelum ini, Asyraf Wajdi dilaporkan berkata MARA menyasarkan untuk memperluas perkhidmatan kesihatan kendaliannya menerusi cadangan penubuhan Hospital MARA.
Menurut beliau, cadangan berkenaan antara lain bertujuan memperkasakan penglibatan Bumiputera dalam sektor perubatan dan keusahawanan profesional.
Beliau sebelum ini turut menyifatkan cadangan Hospital MARA sebagai kesinambungan daripada perkembangan rangkaian perkhidmatan kesihatan kendalian MARA menerusi UNI Klinik, UNI Dental dan UNI Farmasi.
“Kita sudah ada klinik. Apa salahnya satu hari nanti kita mempunyai Hospital MARA juga,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian UNI Klinik Metrocity sebelum ini. – MYNEWSHUB


