KUALA LUMPUR – Dua pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah, Melaka yang dilaporkan hilang sebelum ini ditemui di sekitar Central Market Kuala Lumpur pukul 10.31 malam tadi.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelajar terbabit berjaya ditemui oleh pihak polis Bukit Aman.
“Alhamdulillah, pihak Polis Bukit Aman telah berjaya menemui kedua-dua pelajar MRSM Alor Gajah Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad yang dilaporkan hilang sejak Selasa di sekitar Central Market Kuala Lumpur pukul 10.31 malam tadi,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Polis sebelum ini meminta bantuan orang ramai mengesan dua pelajar Tingkatan Empat berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang di Alor Gajah sejak 11 Ogos lalu.
Pihak polis menerima laporan dibuat oleh guru mengenai kehilangan kedua-dua remaja terbabit pada pukul 10.46 malam, 11 Ogos lalu. – MYNEWSHUB


