KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden mempersoalkan tindakan kerajaan yang hanya mengadakan sesi Penerangan Menteri berhubung isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, sepatutnya kerajaan membentangkan satu usul khusus di Dewan Rakyat bagi mengambil tindakan serius terhadap isu berkenaan.
“Sepatutnya kerajaan bentang satu usul khusus di Dewan Rakyat untuk ambil tindakan serius terhadap isu RCI Tabung Haji.
“Tetapi hari ini hanya ada sesi Penerangan Menteri. Menteri bersyarah beritahu apa yang dia dah buat. MP tanya, Menteri jawab. Habis setakat itu sahaja,” katanya.
Beliau berkata, jika hanya mahu mengadakan sesi soal jawab antara Ahli Parlimen dan Menteri, lebih baik perkara itu dilakukan menerusi sidang media.
“Baik panggil sidang media ja. Wartawan tanya, Menteri jawab. Lepas tu jadi berita.
“Kita tak mahu macam tu. Kita nak ada usul. Bila ada usul, ada undian. Ada undian, ada keputusan untuk kerajaan ambil tindakan. Itulah fungsi Dewan Rakyat, Badan Legislatif,” katanya.
Dalam pada itu, Afnan Hamimi turut membangkitkan ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada persidangan hari ini kerana tidak sihat.
Katanya, isu sebesar RCI Tabung Haji sepatutnya dibentangkan oleh Perdana Menteri sendiri.
“Kebetulan pula hari ini PMX tak sihat, tak dapat hadir. Isu besar begini patutnya dibentang oleh YAB Perdana Menteri.
“YB Kota Bharu sebut tadi, kalau PMX hadir, kami akan bahas. Kalau tidak, tangguhkan sidang sampai PMX boleh hadir,” katanya.
Afnan Hamimi berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada Pakatan Harapan (PH) benar-benar serius untuk mengambil tindakan bagi mengatasi isu RCI Tabung Haji.
“Nampaknya, PH tak serius nak ambil tindakan untuk atasi isu RCI Tabung Haji ini,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan keadaan yang disifatkannya sebagai pelik apabila Anwar sudah ‘membahaskan’ isu berkenaan lebih awal ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“Yang peliknya, PMX dah ‘bahas’ isu ini lebih awal dalam PRN Negeri Sembilan hari tu. Nampak isu ini macam serius sungguh.
“Tapi bila tiba hari persidangan, hanya jadi sesi chit chat dengan Menteri. Ini bukan tatakelola. Ini tatatekola,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Afnan Hamimi Taib Azamudden


