KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam Sidang Khas Parlimen bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji.
Setiausaha Akhbar Kanan Kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Anwar namun akan tetap mengikuti perbahasan tersebut secara dekat demi memastikan amanah institusi umat Islam terus dipelihara.
“Perdana Menteri mendoakan agar persidangan berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Perikatan Nasional (PN) mencadangkan Sidang Khas Parlimen berhubung laporan RCI berkaitan Tabung Haji hari ini ditangguhkan ke satu tarikh yang lebih sesuai.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, permohonan itu dibuat susulan Perdana Menteri tidak dapat hadir disebabkan masalah kesihatan.
PN berpandangan pembentangan laporan RCI itu wajar dilakukan sendiri oleh Perdana Menteri kerana beliau yang membangkitkannya kepada pengetahuan umum ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Terdahulu, Tunku Nashrul berkata, Anwar mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan dan keafiatan beliau, serta atas ingatan dan ucapan sempena ulang tahun kelahiran ke-79 pada Isnin.
“Alhamdulillah, keadaan kesihatan YAB Perdana Menteri semakin baik dan beliau akan terus menjalani rawatan fisioterapi di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan,” katanya. – MYNEWSHUB


