KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa menziarahi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Ahmad Zahid berkata, beliau mendoakan semoga Ismail Sabri terus diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan serta dikurniakan kesembuhan yang sempurna.
“Semoga beliau segera kembali pulih dan dapat meneruskan kehidupan seharian seperti biasa, Insya-Allah,” katanya.
Pada 7 Ogos lalu, prosiding pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri itu ditangguhkan ke 27 Ogos berikutan beliau mengalami masalah kesihatan.
Ismail Sabri dilaporkan berjaya menjalani prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar (leadless pacemaker) di IJN bagi merawat masalah ritma jantung tidak normal.
Pendakwaan terhadap Ismail Sabri dipercayai berhubung perisytiharan harta, di mana sebelum ini beliau dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai perisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada SPRM.
SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta, berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap beliau.
Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’ hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025. – MYNEWSHUB


