GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng mendakwa beliau membantu melestarikan syiar Islam.
Menurutnya, beliau mengadakan kelas Fardu Ain dan al-Quran secara percuma dua kali seminggu untuk kanak-kanak dan warga emas di Pulau Tikus.
Katanya, beliau memberi sumbangan 13 unit televisyen litar tertutup (CCTV) kepada masjid dan surau serta penghawa dingin untuk Masjid Bagan Jermal.
“Kalau DAP mahu menghapuskan Melayu Islam, mengapa saya membantu melestarikan syiar Islam? Tuduhan Presiden PAS terhadap DAP amat berat,” dakwanya dalam satu hantaran di media sosial.
Joshua Woo berkata, setiap kali Ramadan dan Aidilfitri beliau menyampaikan bantuan kepada masyarakat Melayu Islam di kawasannya.
Tambahnya, beliau memberi sumbangan kepada program kecemerlangan KAFA, manakala anak-anak kariah daripada keluarga memerlukan diberi komputer riba.
“Inilah prinsip DAP. Berkhidmat kepada semua, menghormati setiap agama dan membela kebajikan setiap rakyat termasuk masyarakat Melayu Islam,” dakwanya lagi. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Joshua Woo Sze Zeng


