KUALA LUMPUR – Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki meluahkan pandangannya mengenai PKR yang pada beliau kadangkala membuatnya berasa sedih.
Menurutnya, beliau melihat ramai ahli parti itu yang sanggup keluar duit sendiri, balik lewat malam dan meninggalkan keluarga semata-mata kerana percaya kepada perjuangan tanpa minta dipuji.
“Sebab itu kadang-kadang saya sedih. Saya rasa kita ada ramai pejuang hebat di bawah. Orang yang setiap hari menyelesaikan masalah rakyat.
“Orang yang kenal setiap lorong, setiap keluarga, setiap kesusahan di kawasan mereka. Saya cuma berharap suara mereka lebih didengari dan usaha mereka lebih dihargai.
“Saya tak marah kita kalah di mana-mana. Yang saya takut kalau kita berhenti belajar. Kalau kita terus buat perkara yang sama, tetapi mengharapkan keputusan yang berbeza,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Terdahulu, Afdlin menyatakan hati beliau bercampur baur antara bangga, syukur dan kecewa apabila mengenangkan hari lahir PKR pada 3 Ogos 2003.
Menurutnya, beliau menyertai politik kerana percaya semua pihak boleh membina sebuah negara yang lebih baik untuk generasi masa hadapan.
“Saya masih percaya kepada Keadilan (PKR). Saya masih percaya kepada perjuangan reformasi.
“Saya masih percaya parti ini akan menjadi lebih kuat apabila kita lebih banyak mendengar daripada bercakap, lebih banyak memperkasakan daripada mengawal dan lebih banyak berkhidmat daripada berpolitik,” katanya.
Justeru, beliau melahirkan harapan agar semua pihak dalam PKR diberi keberanian untuk menerima teguran, kebijaksanaan untuk berubah dan keikhlasan untuk terus berkhidmat.
“Rakyat tidak akan mengingati siapa yang paling lantang bercakap. Mereka akan mengingati siapa yang sentiasa ada ketika mereka memerlukan. Lawan tetap Lawan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Afdlin Shauki



