JOHOR BAHRU – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Hasrunizah Hassan kurang bersetuju dengan kenyataan Dr. Rafidah Abdullah yang seolah-olah menyalahkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam isu membabitkan Hospital Pasir Gudang.
Menurut beliau, Onn Hafiz hanya menyuarakan isu yang telah lama membelenggu Hospital Pasir Gudang iaitu kekurangan doktor dan tenaga kerja supaya pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan segera.
“Selepas membaca beberapa kenyataan beliau (Dr. Rafidah) berhubung isu Hospital Pasir Gudang, saya rasa kurang bersetuju apabila fokus seolah-olah diberikan kepada menyalahkan YAB Onn Hafiz Ghazi Menteri Besar Johor
“Pada saya, YAB MB Johor tidak menyerang atau menekan doktor serta warga KKM (Kementerian Kesihatan),” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Hasrunizah berkata, matlamat daripada kenyataan Menteri Besar Johor adalah jelas iaitu untuk memastikan Hospital Pasir Gudang dapat beroperasi dengan lebih baik, memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat,
Pada masa yang sama mewujudkan suasana kerja yang lebih selesa, teratur dan kondusif buat doktor serta seluruh warga hospital.
“Apabila tenaga kerja mencukupi, beban kerja dapat dikurangkan dan sudah tentu kakitangan juga dapat menjalankan tugas dengan lebih tenang dan bersemangat.
“Sebagai Menteri Besar, menjadi tanggungjawab beliau membawa suara rakyat Johor. Apabila ada masalah yang menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat, beliau tidak boleh berdiam diri.
“Menyuarakan masalah bukan bermaksud menyalahkan petugas di lapangan, sebaliknya mendesak agar penyelesaian diberikan oleh pihak yang mempunyai kuasa untuk melaksanakannya,” katanya.
Tambah beliau, tindakan Menteri Besar Johor juga satu usaha yang ikhlas demi kebajikan rakyat dan juga demi kesejahteraan warga Hospital Pasir Gudang.
“Fokus kita sepatutnya ialah mencari jalan menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja, bukannya menyerang pihak yang membawa isu tersebut ke perhatian umum,” katanya.
Sebelum ini, pengamal perubatan, Dr Rafidah menggesa ahli politik supaya tidak sekadar ‘menyeru’ KKM menyelesaikan isu kekurangan petugas kesihatan sambil menyifatkan ia sebagai ‘wayang’
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon dalam satu kenyataan menjelaskan, gesaan Kerajaan Persekutuan segera mengisi kekosongan jawatan petugas kesihatan bukan bermotifkan politik, sebaliknya dibuat demi memastikan rakyat menerima perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.
Menurut beliau, dakwaan kerajaan negeri mempolitikkan isu berkenaan tidak tepat kerana Johor selama ini bukan sekadar membangkitkan masalah, malah turut mengeluarkan peruntukan sendiri bagi memperkukuh sistem kesihatan negeri.
Mengulas lanjut, Tian Soon berkata, Johor juga berulang kali membawa isu kekurangan petugas kesihatan kepada KKM, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kerajaan Persekutuan sejak 2023, termasuk dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri serta beberapa siri pertemuan bersama Menteri Kesihatan. – MYNEWSHUB


