KUALA LUMPUR – DAP akan menyerahkan kepada lebih 4,000 perwakilan parti untuk menentukan sama ada parti itu akan terus kekal dalam Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen atau sebaliknya.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, satu usul berhubung perkara itu akan dibentangkan pada Persidangan Kebangsaan DAP yang dijadual berlangsung pada 16 Ogos ini.
“Jadi ini adalah satu usul yang akan ditentukan oleh para perwakilan, sama ada kekal atau tidak dalam kerajaan. Keputusan itu tidak dibuat oleh CEC, tetapi kita menyerahkan kepada para perwakilan.
“Kita serahkan kepada kebijaksanaan para perwakilan untuk membuat keputusan sama ada DAP harus kekal dalam kerajaan sampai akhir tempoh ini ataupun sebaliknya. Jadi keputusan itu akan dibuat pada 16 Ogos,” katanya pada satu sidang media.
Menurut Anthony, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) malam ini yang bersetuju agar keputusan berhubung kedudukan DAP dalam kerajaan diputuskan melalui proses demokrasi parti.
“Pada perjumpaan CEC malam ini, kita juga membuat keputusan bahawa keputusan ini bukan dibuat oleh CEC.
“Kita ingin memikirkannya lebih lanjut dalam proses demokratik parti kita. Keputusan sebegini besar tidak hanya dibuat oleh ahli CEC, tetapi juga dibuat oleh para perwakilan parti kita di konferensi nasional.
“Jadi keputusan akan dibuat oleh para perwakilan,” katanya. – MYNEWSHUB


