SEREMBAN – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Negeri Sembilan mungkin tidak mempunyai konsep “Bangsa Johor”, namun beliau percaya negeri itu mampu membentuk “Ombak Biru” pada Pilihan Raya Negeri (PRN)
Menurut beliau, apa yang dapat dilihat ketika ini ialah wujud “alun-alun” atau gelombang dalam kalangan orang Melayu yang mahukan perpaduan untuk menamatkan perpecahan politik yang berlaku sejak beberapa tahun lalu.
“Kita tidak ada Bangsa Johor, tetapi apa yang saya dapat baca ialah adanya alun-alun yang hendak melihat supaya bersatulah orang Melayu. Ketepikan segala perselisihan demi masa depan anak cucu kita,” katanya.
Mohamad berkata, alun-alun itu perlu dicantumkan sehingga menjadi ombak dan seterusnya membentuk gelombang persefahaman Melayu bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.
Beliau berpandangan parti-parti teras Melayu berdepan risiko besar sekiranya terus bergerak secara bersendirian kerana pertandingan sesama sendiri hanya akan memecahkan undi Melayu dan memberi kesan kepada keputusan pilihan raya.
“Kalau kita bergerak solo, kemungkinan kita kecewa lagi sekali. Bacaan saya, kalau kita pergi solo memang susah. Parti-parti teras Melayu akan bertembung sesama sendiri, orang Melayu jadi serba salah dan akhirnya undi Melayu berpecah. Kita yang akan rugi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak mengetepikan perselisihan kecil dan memberi tumpuan kepada “perang yang lebih besar”, iaitu pilihan raya, supaya orang Melayu tidak lagi keliru dalam menentukan sokongan mereka.
Mohamad turut menegaskan hasrat untuk membentuk memenangi Negeri Sembilan adalah bersama rakan-rakan komponen termasuk MCA, MIC, PPP, IPF dan Makkal Sakti selepas pengundian pada 1 Ogos nanti.
“Kita masuk pilihan raya dengan aman, damai dan tenang. Hadapi medan perjuangan yang besar ini bersama-sama. Inilah yang sepatutnya kita lakukan supaya orang Melayu tidak kecewa dan tidak lagi keliru,” katanya. – MYNEWSHUB


