SEREMBAN – Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang bakal berlangsung pada 1 Ogos ini dicemari dengan isu pihak tertentu didakwa memberi wang kepada pengundi.
Ia susulan beberapa rakaman video yang didakwa perbuatan memberi duit kepada pengundi tersebar secara meluas di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Isu tersebut turut mendapat perhatian pemimpin Barisan Nasional (BN) yang melahirkan kekesalan dan menggesa supaya pihak berkuasa menyiasat perkara itu.
Antaranya Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pihak terlibat.
“Saya tidak mahu membuat tuduhan tapi dalam keadaan sangat terdesak ini, pelbagai taktik di akhir pusingan (kempen) beberapa perkara berlaku.
“Laporan polis telah dibuat dengan bukti dan saksi, saya harap pihak berkuasa ambil tindakan segera terhadap perkara ini.
“Berkempen cara berhemah, cara baik, timbulkan isu-isu bersesuaian dengan hasrat pengundi dan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias pula berkata, tindakan memberi wang itu mencabuli sistem pilihan raya di negara ini.
Menurut beliau, perbuatan itu masih berlaku walaupun perkara itu telah tersebar meluas kepada umum.
Beberapa pemimpin BN lain turut tampil mendesak supaya siasatan dibuat dan tindakan diambil sekiranya dakwaan itu benar. – MYNEWSHUB


