PORT DICKSON – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa syukur dapat kembali ke Port Dickson untuk menyantuni warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pusat Asas Latihan Darat (Pusasda)
Menurut Anwar, kehadirannya bagi merakamkan penghargaan kepada seluruh anggota ATM yang saban hari menggalas amanah besar mempertahankan kedaulatan, keamanan dan kemakmuran negara.
“Kerajaan Madani akan terus memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara dengan menambah baik aset serta keupayaan ATM.
“Memastikan aspek kebajikan, kemudahan dan keperluan anggota serta keluarga mereka terus diberi perhatian,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Anwar berkata, komitmen itu diterjemahkan menerusi Belanjawan Madani apabila Kementerian Pertahanan menerima peruntukan tertinggi dalam sejarah, berjumlah RM21.7 bilion bagi tahun 2026, meningkat daripada RM16.1 bilion pada tahun 2022, iaitu sekitar 35 peratus,
Menurut beliau, ia juga mencerminkan iltizam kerajaan untuk terus memperkukuh keupayaan pertahanan negara, memodenkan aset ketenteraan serta meningkatkan kesejahteraan seluruh warga ATM.
“Sempena Hari Pahlawan yang akan disambut pada 31 Julai ini, kerajaan turut meluluskan bantuan tambahan RM2 juta kepada Tabung Hari Pahlawan sebagai tanda penghargaan kepada jasa dan pengorbanan para perajurit serta veteran yang telah berbakti mempertahankan kedaulatan negara.
“Saya mendoakan agar seluruh warga ATM terus diberikan kekuatan dalam menggalas amanah yang mulia ini.
“Insya-Allah, kerajaan akan terus berdiri bersama saudara-saudari dalam memastikan kebajikan, kesejahteraan dan keperluan keluarga sentiasa menjadi keutamaan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


