SEREMBAN – Rakyat tidak memerlukan ‘bukti hidup’ dalam bentuk individu, sebaliknya rakyat memerlukan bukti melalui dasar, tindakan dan pendirian keseluruhan parti.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Wawasan Negara, Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, kewujudan beberapa pemimpin Melayu Islam tidak membuktikan DAP untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
“Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan yang menyifatkan dirinya sebagai ‘bukti hidup’ bahawa DAP merupakan sebuah parti untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
“Harus ditegaskan kewujudan beberapa orang pemimpin Melayu atau Islam dalam sesebuah parti tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa dasar, perjuangan dan tindakan keseluruhan parti tersebut benar-benar mewakili kepentingan semua rakyat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Menurut beliau, rakyat berhak menilai DAP berdasarkan pendirian rasmi, rekod perjuangan, keputusan kolektif dan tindakan para pemimpinnya, bukan berdasarkan identiti seorang atau dua orang ahlinya.
“DAP perlu menjawab kebimbangan rakyat melalui komitmen yang nyata terhadap Perlembagaan Persekutuan, institusi Raja-Raja, kedudukan Islam, bahasa kebangsaan, kepentingan orang Melayu dan Bumiputera serta hak sah seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Bibi Sunita Sakandar Khan


