Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan susulan isu pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.
Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pelaburan berkenaan didakwa menyebabkan dana persaraan negara berdepan kerugian berjumlah RM163.4 juta.
Menurutnya, tindakan Perdana Menteri yang sekadar menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan masih belum mencukupi untuk menjawab persoalan mengenai pihak yang meluluskan pelaburan tersebut.
“Rakyat tidak hanya mahukan siasatan, tetapi mahu mengetahui siapa yang bertanggungjawab meluluskan pelaburan tersebut dan bagaimana proses tadbir urus KWAP boleh gagal sehingga dana rakyat terdedah kepada penipuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, keuntungan berbilion ringgit yang direkodkan KWAP tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk memandang ringan kehilangan RM163.4 juta.
Tegasnya, setiap ringgit dalam dana persaraan merupakan amanah rakyat yang perlu diuruskan dengan penuh tanggungjawab dan ketelusan.
Pemuda PAS turut berpandangan bahawa Anwar perlu memikul tanggungjawab politik sebagai Menteri Kewangan dengan memberikan penjelasan menyeluruh mengenai proses kelulusan serta pemantauan pelaburan berkenaan.
“Beliau mesti tampil memberi penjelasan yang menyeluruh, bukannya sekadar memberikan jawapan bersifat teknikal,” katanya.
Sehubungan itu, Pemuda PAS mengemukakan tiga tuntutan, termasuk supaya Pengerusi KWAP direhatkan sementara bagi membolehkan siasatan dijalankan secara bebas tanpa sebarang konflik kepentingan.
Ia turut mendesak satu siasatan bebas dan telus dilaksanakan terhadap keseluruhan proses pelaburan KWAP dalam eFishery, selain menuntut Anwar meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan.
Menurut Afnan, isu berkenaan bukan semata-mata melibatkan kerugian pelaburan, sebaliknya turut menyentuh kepercayaan rakyat terhadap pengurusan wang persaraan negara.
“Kehilangan RM163.4 juta bukan sekadar isu pelaburan, tetapi isu kepercayaan rakyat terhadap pengurusan wang persaraan negara. Tiada siapa yang boleh terlepas daripada dipertanggungjawabkan,” katanya.- MYNEWSHUB


![[TIDAK RASMI] Hadi Mendahului Di Parlimen Marang](https://www.mynewshub.tv/wp-content/uploads/2022/11/ABDUL-HADI-AWANG.jpeg)