KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf jika ada pihak yang terasa dengan nada beliau yang tinggi semasa berucap.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk tidak meninggikan suara dan tenang ketika menyantuni rakyat selepas ini.
“Kepada saudara-saudara, mohon maaf kalau nada tadi tinggi sikit. Banyak orang pesan Anwar you ini Perdana Menteri you tak boleh tinggikan suara.
“Kena cakap dengan tenang, dengan baik menyantuni rakyat. Saya cuba,” katanya dalam nada yang sopan dan lembut menerusi satu rakaman video di muat naik di media sosial.
Anwar mendakwa, nada tinggi beliau sebelum ini apabila memperkatakan tentang perkara menyentuh soal-soal yang menyentuh hati nurani dan perasaan.
Beliau turut mendakwa tidak mengetahui bahawa wajah seorang Perdana Menteri kena tenang sepanjang masa.
“Saya mohon maaf kalau ada orang kata itu bukan sepatutnya wajah seorang Perdana Menteri. Saya tidak tahu wajah Perdana Menteri itu kena tenang terus.. tak..tak. Jadi kalau dianggap kesalahan saya mohon maaf
“Tapi percayalah saya luahkan apa yang saya rasa. Kepada siapa lagi saya nak luahkan kalau tidak kepada anak-anak buah saya.. jentera yang boleh menjayakan program negara kita,” katanya. – MYNEWSHUB


