JELEBU – Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon membidas parti DAP yang dianggap tidak bersikap jujur terhadap masyarakat Cina.
Beliau mengingatkan DAP sendiri pernah menjalin kerjasama dengan PAS sehingga berjaya menguasai beberapa negeri.
Katanya, DAP ketika itu tidak pula mengkritik PAS, tetapi keadan jadi berbeza selepas PAS tidak lagi bekerjasama dengan mereka.
“Kenapa waktu itu (kerjasama) tak ada isu? Jadi DAP siapa-siapa yang menjadi kawan dia adalah parti yang baik. Siapa-siapa yang tak jadi kawan dia, ‘demonized’
“Contohnya UMNO, sebelum ini memang dia kutuk UMNO. Bila tubuhkan Kerajaan Perpaduan, UMNO paling baik, satu parti yang ‘moderate’, satu parti Melayu yang baik.
“Bila UMNO tak kerjasama di (PRN) Johor, terus Onn Hafiz dari ‘dewa’ (orang baik) dah jadi ‘demon’ (orang jahat),” katanya ketika ditemui Mynewshub di sini hari ini.
Justeru, Sin Woon memohon masyarakat Cina tidak lagi terpedaya dengan DAP yang mendefinasikan siapa baik dan siapa jahat mengikut kepentingan mereka.
Dalam pada itu, Sin Woon menyeru pemimpin MCA di setiap peringkat menjelaskan kepada ahli parti tentang persefahaman BN dan PN sebagai strategi baharu untuk memenangi PRN Negeri Sembilan.
“Saya tahu semua orang ada yang khuatir, ada yang tak boleh terima. Itu biasalah sebab ini strategi baharu. Kita tak boleh ‘explain’ sewaktu kita masih lagi tidak ‘finalise’ semua strategi itu.
“Sekarang dah memang terbuka bila dah penamaan (calon). Saya rasa penting untuk kita sebagai pemimpin memberikan penjelasan kepada penyokong kita, kepada ahli kita,” katanya. – MYNEWSHUB


