Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Jalan Raja di hadapan Dataran Merdeka akan ditutup sepenuhnya selama enam hari bermula jam 12 tengah hari pada 21 Julai hingga 5 pagi, 27 Julai ini sempena penganjuran Citrawarna 2026.
Penutupan itu bagi membolehkan kerja persiapan, operasi acara serta proses pembongkaran dilaksanakan dengan selamat dan teratur.
Selain Jalan Raja, beberapa laluan utama di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur turut ditutup sepenuhnya sempena raptai dan Citra Perarakan atau Colours of Parade, yang menjadi antara acara utama Citrawarna 2026.
Raptai dijadualkan berlangsung pada Jumaat, 24 Julai, dari jam 9 malam hingga 2 pagi, manakala perarakan kebudayaan berskala mega itu akan diadakan pada Sabtu, 25 Julai, dari jam 6 petang hingga 11 malam.
Sepanjang tempoh berkenaan, laluan perarakan dari Bulatan Dato’ Onn ke Jalan Parlimen sehingga Jalan Raja Laut, Jalan Esfahan, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak akan ditutup sepenuhnya.
Penutupan turut melibatkan laluan dari susur masuk Jalan Kinabalu menuju ke Jalan Sultan Hishamuddin.
Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda lalu lintas dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan.
Pengunjung yang mahu ke Dataran Merdeka juga digalakkan menggunakan pengangkutan awam.
Bagi memudahkan perjalanan pengunjung, Grab akan menawarkan baucar promosi e-hailing bernilai RM3 kepada 1,000 pengguna terawal setiap hari dari 24 hingga 26 Julai.
Sebanyak 3,000 baucar dengan nilai keseluruhan RM9,000 akan ditawarkan sepanjang tiga hari acara berlangsung.
Maklumat lanjut termasuk kod promosi akan diumumkan menerusi platform media sosial rasmi dan laman sesawang berkaitan dari semasa ke semasa.
Citrawarna 2026 akan berlangsung dari 24 hingga 26 Julai di Dataran Merdeka dengan mengetengahkan kepelbagaian seni, budaya, warisan dan gastronomi Malaysia sempena Kempen Melawat Malaysia 2026.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai penutupan jalan, jadual program, promosi hotel dan kod promosi Grab menerusi akaun rasmi Citrawarna di @citrawarna.my dan @malaysia.truly.asia serta portal Malaysia Travel.-MYNEWSHUB




