Oleh Mynewshub
MELAKA – Tindakan DAPSY Kota Melaka mengkritik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berhubung isu banjir didakwa mengundang reaksi sebaliknya apabila sebahagian pengguna media sosial tampil mempertahankan wakil rakyat berkenaan.

Berdasarkan tangkap layar yang dikongsikan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, hantaran dipercayai dimuat naik dalam Bahasa Cina itu mempersoalkan keutamaan kerajaan negeri dalam menangani masalah banjir yang sering melanda kawasan Duyong.
Hantaran tersebut antara lain mendakwa kerajaan negeri membelanjakan lebih RM1 juta setahun bagi gaji serta elaun tujuh ADUN, sedangkan masalah sistem perparitan dan banjir kilat masih berlarutan.
Bagaimanapun, ruangan komen hantaran berkenaan dipenuhi beberapa pengguna yang mempertahankan Mohd Noor Helmy serta memuji tindakan beliau membantu penduduk ketika berlaku banjir.
Seorang pengguna dikenali sebagai Kelvin Chong menyifatkan Mohd Noor Helmy sebagai antara wakil rakyat yang menunjukkan prestasi terbaik di Melaka.
“Yang paling top perform punya YB Helmy di Melaka, DAP pun nak gaduh ke?
“Nak semua Cina bungkus DAP, ikat tepi dalam next PRU ke? You pick a wrong YB bro, jangan main politik macam ini, kita dah bosan,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna mendakwa Mohd Noor Helmy sentiasa turun padang ketika banjir dan mengambil tindakan segera bagi membantu penduduk terjejas, termasuk pada waktu malam.
Terdapat juga pengguna yang meminta DAPSY Kota Melaka supaya tidak sekadar mengeluarkan kenyataan di media sosial, sebaliknya turun sendiri melihat keadaan penduduk serta menawarkan penyelesaian terhadap masalah yang dibangkitkan.
Firdaus Wong berkata, pihak yang menyerang ADUN Duyong itu dipercayai menyangka hantaran dalam Bahasa Cina akan mendapat sokongan masyarakat berkenaan.
Namun katanya, reaksi di ruangan komen menunjukkan sebahagian pengguna berbahasa Cina tidak bersetuju dengan serangan tersebut, malah memberikan amaran bahawa tindakan sedemikian boleh menjejaskan sokongan terhadap DAP pada pilihan raya akan datang.
Beliau turut memetik sebahagian maksud ayat 118 dan 119 Surah Ali Imran yang mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati terhadap pihak yang menyimpan kebencian dan menginginkan kesusahan menimpa mereka.
Kontroversi itu sekali lagi memperlihatkan bagaimana serangan politik di media sosial boleh memakan diri sekiranya ia dilihat tidak selari dengan pengalaman sebenar penduduk terhadap prestasi seseorang wakil rakyat.
Setakat ini, belum terdapat kenyataan lanjut daripada DAPSY Kota Melaka berhubung kritikan serta reaksi pengguna media sosial terhadap hantaran berkenaan. –MYNEWSHUB


