KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) menegaskan komitmennya untuk menyiasat setiap dakwaan berdasarkan fakta dan undang-undang, sambil memandang serius penyebaran kandungan berunsur fitnah di media sosial yang boleh menjejaskan reputasi anggota serta imej organisasi.
Dalam kenyataan media hari ini, TDM berkata dakwaan tular konon anggotanya melakukan kesalahan merogol, mencabul dan bersetubuh yang beredar sejak 2024 telah disiasat secara dalaman dan didapati bercanggah dengan fakta sebenar.
Menurut TDM, anggota yang terlibat telah membuat laporan polis berhubung penyebaran dakwaan tersebut, manakala pegawai dan anggota terbabit turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.
TDM turut memaklumkan bahawa individu yang membuat dakwaan itu tidak pernah membuat laporan polis berhubung tuduhan jenayah berkenaan, sebaliknya menggunakan media sosial sebagai medium pelaporan.
“Selain itu, akaun anonim (anonymous) tersebut telah lenyap dan dipadamkan dari media sosial,” kata kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, TDM menegaskan budaya “trial by viral” tidak boleh dinormalisasikan dan memberi amaran akan menggunakan segala instrumen undang-undang sivil serta jenayah bagi menangani penyebaran fitnah.
TDM turut menggesa sebarang dakwaan dikemukakan melalui saluran yang sah supaya dapat disiasat secara adil, telus dan mengikut lunas undang-undang. – MYNEWSHUB


