KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial dan pengulas politik pro Pakatan Harapan (PH), Ahmad Faizuddin mendakwa orang Melayu lebih takut ‘hantu’ berbanding ‘orang jahat’
Sehubungan itu, beliau menyarankan strategi PH melawan naratif anti-DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan ‘menyerang’ MCA sebanyak mungkin.
“Selama ni kempen kita terlalu bertumpu tentang integriti dan korupsi. Orang Melayu tak makan perbahasan itu.
“Orang Melayu lebih takut hantu daripada orang jahat. Itu sifat orang Melayu. Saya Melayu. Saya faham psikologi bangsa Melayu,” dakwanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Ahmad Faizuddin seterusnya menyarankan PH memfokuskan tentang usaha PH menaikkan syiar Islam sebagai strategi kempen PRN Negeri Sembilan.
“Angkat perbahasan situasi negara sekarang lebih baik. Untuk golongan intelektual, mereka nak dengar benda ni. Ada yang sayangkan negara lebih daripada takut kepada hantu DAP,” dakwanya.
Beliau turut menyarankan PH mempromosikan sebanyak mungkin prestasi Menteri Besar yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Kata beliau, PH perlu juga memastikan manifesto PRN Negeri Sembilan boleh ditunaikan dan dijelaskan secara mudah dan menarik.
“Buat satu strategi penceritaan supaya calon-calon boleh membina gelombang penerangan berkesan.
“PH ada ‘general local’, Tok Min untuk lead kempen dengan lebih berkesan. Sebar luas kemampuan kepimpinan Tok Min supaya pengundi Negeri Sembilan nampak manfaat.
“Padamkan secara efektif ketakutan Melayu kepada DAP dengan ‘expose’ MCA lebih jahat. Bina keyakinan bahawa Malaysia berada di landasan yang tepat,” dakwanya lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Faizuddin berkata, beliau mengambil maklum kritikan Angkatan Muda Keadilan (AMK) terhadap beliau sebagai punca kekalahan PRN Johor.
“Saya tidak akan terlibat di PRN Negeri Sembilan. Saya nak fokus kepada kerja hakiki saya. Saya doakan Team PH under Tok Min ‘success’ di PRN Negeri Sembilan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Exco AMK meminta PH menghentikan politik mencari sensasi seperti menampilkan pempengaruh, Caprice yang langsung tidak membawa impak signifikan semasa kempen PRN Johor.
Individu seperti Caprice dan Ahmad Faizuddin didakwa tidak membawa impak signifikan terhadap undi kerana apa yang kelihatan hebat di media sosial tidak semestinya diterjemahkan kepada sokongan di peti undi. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Ahmad Faizuddin



