JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) mengalami kemerosotan ketara dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila parti komponen utamanya, DAP, kehilangan empat kerusi yang disandang sebelum ini.
DAP yang bertanding di 17 kerusi hanya berjaya memenangi enam kerusi, berbanding 10 kerusi yang dimenangi pada PRN Johor 2022.
Empat kerusi yang gagal dipertahankan ialah Johor Jaya, Tangkak, Jementah dan Perling selepas dirampas calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA dan MIC.
Bagaimanapun, DAP masih berjaya mempertahankan enam kerusi iaitu Bentayan, Penggaram, Mengkibol, Stulang, Skudai dan Senai.
Sementara itu, dua lagi parti komponen PH turut mencatat keputusan mengecewakan apabila PKR hanya memenangi satu daripada 20 kerusi yang ditandingi, manakala Amanah turut sekadar meraih satu kemenangan daripada 19 kerusi.
Keputusan itu menunjukkan prestasi keseluruhan PH merosot dengan ketara dalam PRN Johor kali ini apabila majoriti kerusi yang ditandingi gagal dipertahankan atau dimenangi. – MYNEWSHUB


