JOHOR BAHRU – Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok, Datuk Onn Hafiz Ghazi memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kelemahan, kekurangan dan kesilapan sepanjang beliau mengemudi kerajaan Johor sebagai Menteri Besar.
Menurutnya, sejak diberikan amanah untuk memimpin Johor, setiap hari beliau bersama seluruh pasukan kerajaan negeri telah berusaha sedaya upaya memberikan yang terbaik demi Bangsa Johor.
“Saya juga sedar bahawa saya bukan pemimpin yang sempurna. Sepanjang memikul amanah ini, sudah tentu ada kelemahan, kekurangan dan kesilapan
“Atas segala kekurangan itu, saya dengan penuh rasa rendah hati memohon ampun dan maaf kepada seluruh Bangsa Johor. Namun, saya percaya setiap amanah datang bersama tanggungjawab untuk terus belajar dan memperbaiki diri.
“Tetapi, sekiranya saudara dan saudari melihat masih ada keikhlasan dalam usaha kami berkhidmat, maka dengan penuh rasa rendah diri saya memohon sokongan dan mandat kepada calon-calon BN di kawasan masing-masing,” katanya menerusi hantaran video di media sosial.
Terdahulu, Onn Hafiz berkata, Bangsa Johor akan membuat satu keputusan yang amat besar esok yang bukan sahaja menentukan siapa akan dipilih, tetapi juga menentukan arah perjalanan negeri ini untuk lima tahun akan datang.
Kata beliau, apa jua keputusan yang bakal dibuat esok, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor atas segala sokongan, teguran, doa dan kepercayaan yang telah diberikan kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri sepanjang empat tahun ini.
“Semoga Allah S.W.T memberkati Bangsa Johor, memelihara negeri yang kita kasihi ini dan mengurniakan petunjuk kepada kita semua untuk membuat keputusan yang terbaik. Insya-Allah,” katanya.
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Onn Hafiz Ghazi


