JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyeru rakyat negeri ini agar terus mempertahankan semangat perpaduan dan menolak politik berasaskan sentimen kaum serta agama menjelang hari pengundian.
Beliau berkata, Johor sejak sekian lama terkenal sebagai sebuah negeri yang menghormati setiap kaum dan bangsa, justeru rakyat tidak seharusnya terpengaruh dengan naratif sempit yang cuba dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Johor tidak pernah begitu. Kita menghormati setiap kaum, kita menghormati setiap bangsa. Oleh itu, jangan kita terikut-ikut dengan politik dan naratif sempit yang dimainkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu rakaman video di media sosial.
Terdahulu, Onn Hafiz berkata, terdapat pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman dan agama di kampung-kampung, kawasan desa serta FELDA bagi mempengaruhi pengundi.
Beliau namun menegaskan pendekatan sedemikian tidak mencerminkan nilai yang selama ini menjadi pegangan rakyat Johor.
Beliau turut menegaskan Barisan Nasional (BN) Johor menampilkan calon daripada pelbagai kaum menerusi parti komponennya, termasuk UMNO, MCA dan MIC, sebagai bukti komitmen gabungan itu terhadap perpaduan serta keharmonian masyarakat majmuk.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh Bangsa Johor memberikan sokongan kepada calon BN pada hari pengundian, sambil menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai medan untuk memastikan kestabilan dan kemajuan negeri terus dipertahankan.
Menurut beliau, hanya tinggal dua hari sebelum Bangsa Johor membuat keputusan penting yang akan menentukan sama ada negeri itu terus bergerak maju atau sebaliknya.
“Tinggal dua hari lagi, Bangsa Johor akan membuat satu keputusan yang besar untuk mengundi sama ada Johor akan terus maju atau mundur ke belakang.
*BN Johor mempunyai calon-calon yang mewakili Melayu, Cina, India dan semua kaum. Kita ada UMNO, kita ada MCA dan kita juga ada MIC yang bertanding.
“Jadi, saya menyeru kepada seluruh Bangsa Johor pada 11 Julai ini sama-samalah kita menyokong calon-calon BN yang mewakili setiap kaum. Kepada Allah kita berserah,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Onn Hafiz Ghazi


