OLEH MYNEWSHUB
KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil sekali lagi mencetuskan perhatian apabila mencabar beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk berdebat secara terbuka pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Menerusi satu hantaran video di TikTok, Isham mendakwa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hanya berani berdebat di hadapan penyokong sendiri di Johor, namun tidak berani menyahut cabaran untuk berdebat di Selangor.
Beliau turut mengaitkan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, dengan satu insiden ketika sesi dialog di sebuah balai raya yang menurutnya disertai kehadiran pihak polis.
Dalam kenyataan sama, Isham berkata beliau bersedia berdebat bukan sahaja dengan Amirudin atau Maszlee, malah turut mencabar Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri.
“Mereka boleh bawa semua anak-anak ayam J-KOM sekali gus untuk berdebat dengan saya seorang serentak pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja,” katanya.
Di penghujung kenyataannya, Isham turut menyeru orang ramai mengundi PAS atas alasan bagi memperjuangkan penyatuan ummah dan membanteras rasuah.
Setakat ini, tiada sebarang maklum balas rasmi daripada Amirudin Shari, Dr Maszlee Malik, Tengku Zafrul mahupun pihak yang dinamakan berhubung cabaran debat tersebut.
Dakwaan yang dikemukakan Isham juga belum dijawab oleh mana-mana pihak yang terlibat. – MYNEWSHUB


