JOHOR BAHRU – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa bangga terhadap komitmen luar biasa yang ditunjukkan jentera dan penyokong BN sepanjang lebih seminggu tempoh berkempen.
Menurut beliau, sokongan padu daripada penyokong pelbagai kaum yang bekerja siang dan malam, sama ada di lapangan mahupun di alam maya, membuktikan kesungguhan mereka untuk memastikan kemenangan calon-calon BN.
Beliau menggesa seluruh jentera supaya terus menjalankan kempen dengan penuh hikmah serta menampilkan kelebihan calon-calon BN kepada rakyat.
“Teruskan berkempen dengan penuh hikmah, tonjolkan kelebihan calon kita dan sampaikan tawaran terbaik kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Ahmad Zahid turut mengingatkan semua penyokong agar sentiasa menjaga adab ketika berkempen kerana setiap tindakan dan tingkah laku mereka sedang diperhatikan serta dinilai oleh rakyat Johor.
Dalam masa sama, beliau turut berpesan supaya semua petugas tidak mengabaikan aspek kesihatan memandangkan masih berbaki beberapa hari sebelum hari pengundian.
Beliau berharap seluruh jentera terus istiqamah berusaha sehingga tamat tempoh kempen, di samping mendoakan agar segala urusan dipermudahkan.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan keberkatan kepada setiap usaha serta mengizinkan kemenangan yang terbaik buat Bangsa Johor, insya-Allah,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Zahid Hamidi


