KUALA LUMPUR – Laman Facebook Najib Razak mempersoalkan mengapa bekas Perdana Menteri itu dijadikan fokus kempen oleh Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut laman Facebook berkenaan, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tidak mempunyai kaitan dengan pilihan raya tersebut kerana bukan Najib yang akan menentukan hala tuju negeri itu.
“Najib bebas atau masih dalam penjara, apa kaitannya dengan Johor? Boleh bantu rancang ekonomi Johor? Boleh tentukan hala tuju negeri?
“Boleh pastikan kerajaan buat kerja? Boleh tingkatkan kesejahteraan Bangsa Johor? Boleh jamin masa depan Johor untuk lima tahun akan datang?
“Kalau jawapannya tidak, kenapa itu pula yang PH sembang 24 jam?,” kata laman Facebook Najib Razak.
Nama Najib kembali menjadi bahan kempen PH menjelang PRN Johor dengan serangan banyak ditumpukan terhadap bekas perdana menteri tersebut.
Ramai pihak berpandangan PH ketandusan idea untuk berdepan PRN Johor sehingga terpaksa mengulangi strategi Pilihan Raya Umum 2018.
Strategi itu bagaimanapun dilihat kurang menjadi, sebaliknya menerima reaksi balas negatif netizen dengan sindiran dan kata-kata sinis. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Najib Razak


