KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Asri Anwar Ibrahim melahirkan rasa syukur kerana kejayaan yang dikecapi Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) hari ini.
Menurut beliau, Proton di Mesir tahun ini mencatat rekod antara pengeluar kenderaan yang terbaik di negara itu hasil kepimpinan kerajaan yang bersih hari ini.
“Proton di Mesir tahun ini catat rekod di antara pengeluar yang terbaik. Maknanya kita orang Malaysia mampu melakukannya.
“Tapi mesti pimpinan yang bersih, jaga tatakelola,” katanya pada Majlis Peluncuran Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional hari ini.
Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Anwar berkata, kejayaan dan keuntungan Proton itu boleh digunakan bagi menyediakan pakej mampu milik untuk pemandu teksi menerusi program Teksi Madani Nasional.
Beliau turut mengumumkan tambahan geran padanan RM10 juta khusus bagi membantu lebih ramai pemandu teksi memiliki kenderaan baharu.
Menurut beliau, peruntukan RM10 juta diumumkan dalam Belanjawan 2026 sebelum ini telah pun habis dimanfaatkan dalam tempoh kira-kira tiga bulan. – MYNEWSHUB


