KUALA LUMPUR – Malaysia harus menyasarkan untuk menjadi Mini-Korea atau Mini-Taiwan dalam bidang teknologi dengan menghimpunkan modal, pekerja dan syarikat.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, langkah itu bagi membina sebuah negara yang memiliki serta berinovasi dalam teknologi sepanjang dekad akan datang.
“Untuk mentransformasikan Malaysia, kita mesti melakukan perubahan paradigma ini: berhenti melihat syarikat Malaysia sebagai lebih rendah daripada syarikat asing dan memastikan perniagaan Malaysia mempunyai agenda pembinaan negara.
“Malaysia harus menyasarkan untuk menjadi mini-Korea atau mini-Taiwan dalam bidang teknologi,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Chin Tong yang juga Pengarah Strategik DAP berkata, beliau juga berkongsi pandangan di Forum Ekonomi Negara 2026 bahawa dewan-dewan perniagaan Malaysia boleh bergabung untuk menyediakan lebih banyak analisis kepada kerajaan.
Menurut beliau, walaupun negara memerlukan sebuah kerajaan yang lebih terbuka, di mana pegawai dan menteri bersedia untuk berinteraksi serta membincangkan perincian dasar sebelum ia dimuktamadkan, Malaysia juga memerlukan perniagaan untuk tampil dengan idea-idea yang inovatif dan baharu. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Liew Chin Tong


