KUALA LUMPUR – Kajian tinjauan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijalankan oleh sebuah firma penyelidikan menunjukkan Barisan Nasional (BN) kini mendahului dengan 36 peratus sokongan.
Kajian itu mendakwa Pakatan Harapan (PH) pula berada di tempat kedua dengan 26 peratus, manakala Perikatan Nasional (PN) 15 peratus dan parti-parti lain 13 peratus.
Tinjauan tersebut melibatkan 1,303 responden pengundi di Johor yang ditemu bual dalam tempoh 15 hingga 29 Jun lalu.
Sampel kajian kemudiannya diselaraskan menggunakan kaedah pembahagian berlapis berdasarkan data demografi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ia meliputi pecahan kaum, umur dan jantina mengikut struktur setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut laporan itu, ramalan keputusan dibuat menggunakan model ‘Likely Voter Model’ iaitu kaedah bagi menganggarkan tahap kemungkinan responden untuk keluar mengundi pada hari pengundian sebenar.
Hasil analisis menunjukkan walaupun BN berada di hadapan dalam model tersebut dengan 36 peratus sokongan, namun persaingan masih dianggap sengit.
Daripada keseluruhan kerusi DUN, sebanyak 14 kerusi dikenal pasti sebagai sangat rapat (marginal), manakala 17 kerusi masih tidak menentu, sekali gus menjadikan perebutan kuasa kerajaan negeri masih terbuka.
Kajian itu turut mendapati hampir sepertiga pengundi masih belum memuktamadkan pendirian politik mereka, dengan 31 peratus dikategorikan sebagai pengundi tidak tegas, sama ada masih ragu-ragu, belum membuat keputusan atau berpotensi menukar pilihan pada saat akhir.
Selain itu, terdapat juga sekumpulan responden yang enggan menyatakan sokongan mereka, yang berpotensi memberi kesan besar kepada keputusan akhir pilihan raya.
Sebanyak tujuh peratus responden enggan mendedahkan pilihan, manakala dua peratus lagi masih belum membuat keputusan. – MYNEWSHUB


