JOHOR BAHARU – Penyandang Menteri Besar Johor, Datuk Seri Onn Hafiz mempersoalkan mengapa Kerajaan Persekutuan berulang kali menangguhkan Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang sepatutnya diumumkan tahun lalu.
Menurut beliau, pelan itu telah siap dan sepatutnya diumumkan segera bagi memastikan momentum baik ekonomi Johor dapat diteruskan.
Kata beliau, pelan tersebut pada asalnya disasarkan untuk diumumkan pada penghujung tahun 2025, tetapi ditukar kepada tarikh 30 Mac 2026 sebelum ditangguhkan sekali lagi.
“Pelan induk tidak perlu tunggu sehingga ‘leaders retreat’ akhir tahun ini untuk dilancarkan kerana ia tidak perlu mendapat persetujuan dari kerajaan Singapura.
“Malah agensi berkenaan dari Singapura, Malaysia dan Johor telah pun memberi input dan maklum balas mereka,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Onn Hafiz berkata, JS-SEZ tidak sepatutnya terus dilengahkan kerana ia melibatkan kepastian kepada pelabur, hala tuju sektor, zon pelaburan, insentif, infrastruktur, pembangunan bakat dan penyelarasan antara agensi.
Ujar beliau, JS-SEZ terlalu penting kepada Bangsa Johor, maka kerajaan Negeri memohon dan menggesa Kerajaan Persekutuan supaya tidak melengahkan lagi perkara itu. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Onn Hafiz Ghazi


