KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Woo Kah Leong menegaskan DAP tidak pernah mengaitkan perihal politik dengan isu perkauman.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) berkata, DAP malah pernah menjalinkan kerjasama politik dengan parti PAS.
“Memang betul DAP pernah ada kerjasama politik dengan PAS, tidak kira dalam Barisan Alternatif mahupun Pakatan Rakyat.
“Ketika itu DAP mengumumkan secara terbuka kerjasama politik dengan PAS dan tidak pernah cuba untuk menyembunyikan apa-apa,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Menurut beliau, DAP juga pernah memaklumkan kepada penyokongnya bahawa parti itu perlu bekerjasama dengan UMNO bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan.
Katanya, keadaan itu berbeza di Johor apabila pemimpin Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak mahu bekerjasama dengan DAP.
Beliau turut mengkritik kenyataan Onn Hafiz bahawa tidak salah untuk PAS menyokong BN Johor kerana DAP juga pernah bekerjasama dengan PAS.
“Pertama, kerjasama politik antara UMNO dengan PAS tidak pernah diumumkan secara terbuka.
“Kedua, DAP tidak pernah terlibat dalam apa-apa usaha yang berniat untuk menjatuhkan kerajaan yang sah ditubuhkan melalui kaedah pilihan raya,” dakwanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Woo Kah Leong


