SHAH ALAM – Pelancaran LRT3 Laluan Shah Alam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini didakwa menjadi bukti pendekatan Kerajaan Madani yang sentiasa mengutamakan keperluan rakyat.
Pemimpin Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengangkutan awam yang moden, cekap dan selesa memudahkan perjalanan rakyat dan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara.
“Inilah pendekatan Kerajaan Madani yang sentiasa mengutamakan keperluan rakyat. Apabila infrastruktur diperkukuhkan, akses kepada peluang pekerjaan, pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan pelbagai kemudahan lain juga menjadi lebih mudah.
“Semoga LRT3 menjadi satu lagi simbol kemajuan negara yang membawa manfaat kepada rakyat hari ini dan untuk generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Untuk rekod, projek LRT3 diilhamkan pada era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan antara inisiatif utama memperkukuh sistem pengangkutan awam di Lembah Klang Barat.
Terdahulu, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, dengan adanya LRT3, rakyat dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan harian, mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menikmati sistem pengangkutan yang lebih efisien.
Kata beliau, pada masa yang sama, pembangunan di sepanjang jajaran ini dijangka menarik lebih banyak pelaburan, membuka peluang pekerjaan baharu dan merancakkan aktiviti ekonomi setempat. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Mohamad Sabu


