JOHOR BAHRU – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming turun padang membantu mengecat Flat Tun Aminah, Skudai di sini.
Menerusi satu rakaman video di muat naik di laman media sosial KPKT, Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dilihat mengecat dinding bangunan flat tersebut.
“KPKT lulus RM2.5 juta bagi baik pulih Flat Tun Aminah, Skudai meliputi aspek penggantian bumbung dan kerja-kerja berkaitan,” kata laman media sosial tersebut.
Dalam hantaran berasingan semalam, Kor Ming memaklumkan KPKT meluluskan peruntukan sebanyak RM216.44 juta bagi melaksanakan 42 projek pembangunan di Johor di bawah RMK13, Rolling Plan Pertama 2026.
Menurutnya, peruntukan itu merangkumi pelbagai inisiatif seperti pembangunan dan penyelenggaraan perumahan rakyat, naik taraf kemudahan awam, sistem sanitasi, pengurusan sisa pepejal, pembangunan bandar mampan serta program kesejahteraan komuniti.
“Usaha ini membuktikan komitmen Kerajaan Madani dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui penyediaan perumahan berkualiti, kemudahan yang selesa dan persekitaran yang lebih sejahtera,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial KPKT Malaysia/Nga Kor Ming


