KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan terhadap seorang kakitangannya kerana membuang sampah daripada kenderaan rasmi selepas insiden itu tular di platform media sosial pada 21 Jun lalu.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut dan telah memanggil kakitangan terbabit bagi mendapatkan penjelasan selain menjalankan semakan terperinci berhubung kejadian berkenaan.
Menurut DBKL, hasil semakan yang dilakukan mendapati tindakan lanjut perlu diambil dan kakitangan terbabit telah dikenakan kompaun di bawah Seksyen 47(1)(e), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“DBKL sentiasa menekankan kepentingan integriti, disiplin dan profesionalisme dalam kalangan warga kerja bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada warga kota,” menurut kenyataan itu.
Pihak berkuasa tempatan berkenaan turut menegaskan bahawa mereka tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan yang boleh mencemarkan imej organisasi serta menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan awam.
Sehubungan itu, DBKL memberi jaminan akan terus memperkukuhkan pematuhan terhadap peraturan, etika kerja dan tatakelola organisasi dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap warga kerjanya sentiasa mematuhi standard yang ditetapkan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Dewan Bandaraya Kuala Lumpur


