KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan parti itu akan tetap menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendakwa, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar telah bersetuju dengan perkara itu.
“Berhubung PRN Johor, wakil-wakil Bersatu yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin telah membentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam tadi mengenai kerusi-kerusi tumpuan Bersatu dan menegaskan bahawa calon-calon Bersatu akan menggunakan logo PN.
“Pendirian Bersatu dipersetujui oleh Pengerusi PN. Sehubungan itu, Bersatu akan mengemukakan senarai kerusi DUN Johor yang akan ditandingi oleh Bersatu untuk penyediaan watikah dan surat kebenaran menggunakan simbol PN,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ahmad Faizal turut menegaskan, Bersatu sebagai pengasas PN akan memastikan perjalanan dan segala urusan pentadbiran, pengurusan dan aktiviti PN dilaksanakan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Perikatan Nasional serta mematuhi Akta Pertubuhan 1966 dan peraturan.


