JOHOR BAHRU – Rata-rata netizen memberi reaksi positif terhadap langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail hanya beberapa hari selepas baginda menyuarakan pandangan berhubung isu hak dan hasil negeri Johor.
Majoriti pengguna media sosial melihat pertemuan tersebut sebagai bukti bahawa pandangan dan teguran disuarakan oleh Tunku Mahkota Ismail sangat berpengaruh yang akhirnya perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan.
Seorang netizen, Rizwan berkata, tindakan pantas Perdana Menteri menghadap baginda selepas ditegur menunjukkan peranan penting institusi Raja Melayu yang sentiasa memperjuangkan kepentingan rakyat negeri masing-masing.
“Ini baru betul Raja Melayu bersuara demi rakyat negerinya. Terus hari ini menteri masuk menghadap,” katanya.
Seorang lagi pengguna media sosial, Mfw Rohaizad Daud Ahmad pula menyifatkan situasi itu sebagai bukti pengaruh besar Tunku Mahkota Johor.
“Tunku usik sikit je tu,” tulisnya dalam nada berseloroh.
Pandangan sama turut dikongsi oleh Mc Megha yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai bukti kewibawaan dan pengaruh Tunku Mahkota Ismail sebagai Pemangku Sultan Johor.
“That is TMJ style power la,” katanya.
Dalam masa sama, ramai netizen berharap isu yang dibangkitkan oleh baginda berhubung pengagihan hasil negeri Johor akan diberikan perhatian sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan selepas ini.
Wan Fadz berharap Perdana Menteri dapat memahami titah yang disuarakan Tunku Mahkota Ismail demi memastikan pengagihan hasil negeri dilakukan secara lebih adil.
“Daulat Tuanku. PMX fahami apa yang Tuanku titahkan. Ada kebenaran. Moga dipertimbangkan pengagihan hasil negeri dengan lebih adil dan saksama,” katanya.
Turut menjadi harapan selepas Perdana Menteri menghadap Tunku Mahkota Ismail adalah titah supaya 25 peratus hasil yang disumbangkan Johor kepada kerajaan Persekutuan dikekalkan untuk pembangunan negeri tersebut.
Menurut Uda Salleh, jika perkara itu dapat dilaksanakan, Johor berupaya melaksanakan lebih banyak projek pembangunan tanpa terlalu bergantung kepada Kerajaan Pusat.
“Kalau dapat kembali 25 peratus dana sumbangan Negeri Johor kepada kerajaan pusat itu, Johor boleh buat sendiri, tak perlu tunggu Kerajaan Pusat,” katanya.
Selain isu hasil negeri, netizen turut menyuarakan harapan agar Johor menerima lebih banyak peruntukan pembangunan termasuk projek pengangkutan awam berskala besar.
Awang Marzuki berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan projek untuk rakyat sebagaimana projek-projek yang dinikmati Pulau Pinang.
“Mohon minta LRT atau MRT, Tunku. Pulau Pinang boleh dapat, takkan Johor tak dapat,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi netizen, MD Borhan, menegaskan rakyat Johor sentiasa berdiri
teguh bersama institusi kesultanan negeri.
“Anak Johor sentiasa bersama Sultan Johor dan TMJ,” katanya. – MYNEWSHUB


