SHAH ALAM – Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Shukri Omar menyifatkan pengalaman PAS bekerjasama dengan Bersatu sebagai sangat memeritkan berbanding ketika menjalinkan kerjasama dengan UMNO.
Menurut beliau, malah terdapat beberapa kawasan yang mahu ditandingi, jumlah individu yang mahu bertanding sebagai calon melebihi jumlah jentera yang bersedia bekerja di kawasan tersebut.
“Saya boleh sebut pengalaman dengan Bersatu ini sangat memeritkan. Beberapa kawasan yang saya kira telah disebut oleh Tan Sri Presiden PAS, jumlah mereka yang nak bertanding jadi calon itu lebih ramai daripada jentera. Itu hakikatnya,” katanya dalam satu podcast.
Beliau berkata, berdasarkan pengalaman PAS bersama UMNO dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas tahun 2019 termasuk di Semenyih, prestasi kerjasama dengan UMNO dilihat lebih baik.
“Ini pengalaman kita dengan UMNO dan rakan-rakan lain. Bila bertanding, rakan-rakan UMNO bila mereka bertanding, contohnya berlaku beberapa siri PRK sebelum ini selepas tahun 2019. Kita ada di Semenyih dan beberapa kawasan lain.
“Kita lihat bila ‘serahan’ kerusi itu kepada UMNO, kita lihat prestasi UMNO yang baik. Mereka bekerja,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mendakwa PAS terpaksa membantu Bersatu di kerusi yang tidak mempunyai jentera mencukupi.
“Apa yang dilalui oleh PAS adalah ada kerusi yang mereka (tandingi) sudahlah jentera tak ada. Kita bantu.Yang menjadi masalah, setelah menang mereka tak ‘perform’
“Ini yang paling mendukacitakan kami. Jadi bagaimana nak pertahankan kerusi itu bila pilihan raya akan datang,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Azrul Abu Hasan


