GEORGE TOWN – Selepas 24 tahun, upacara ‘consecration’ (pentahbisan) Kuil Sri Krishna Kunj Bihari Mandir di bawah Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) akhirnya berjaya direalisasikan.
Senator DAP, RA Lingeshwaran berkata, kuil yang asalnya dibina pada tahun 1835 itu menjadi bukti warisan dan kepercayaan masyarakat Hindu yang terus dipelihara sehingga kini.
Beliau berkata, hampir RM600,000 telah dilaburkan oleh PHEB bagi menyiapkan kerja-kerja pemulihan dan pentahbisan kuil berkenaan bagi memastikan ia terus dapat berkhidmat kepada generasi akan datang.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying; dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang hadir memeriahkan majlis bersejarah tersebut,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Beliau berharap kuil itu akan terus menjadi tempat ibadat, perpaduan dan pembangunan rohani kepada semua. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lingesh RA


