OLEH MYNEWSHUB
KUALA LUMPUR – Seramai 186 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu berskala besar yang dijalankan di sekitar kawasan Pasar Pudu menerusi Ops Kutip, melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa.

Operasi yang bermula pada jam 10 malam Jumaat (19 Jun 2026) dan berakhir sekitar jam 3 pagi Sabtu (20 Jun 2026) itu diketuai oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama JIM Putrajaya, JIM Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan penguatkuasaan turut memberi tumpuan kepada aktiviti perniagaan dan penjajaan tanpa lesen yang dipercayai dikendalikan warga asing.
Hasil operasi tersebut, DBKL telah menutup serta-merta sebuah premis perniagaan yang dikendalikan warga asing selain mengeluarkan tiga notis terhadap premis yang beroperasi tanpa lesen.
Pada masa sama, sebanyak 24 tindakan sita dan pemindahan barangan serta peralatan perniagaan turut dilaksanakan melibatkan aktiviti penjajaan tanpa lesen.
Antara barangan yang disita termasuk peralatan serta stok perniagaan melibatkan jualan barangan am, sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan basah seperti ikan, ayam serta daging.
Menurut DBKL, semua barangan yang disita telah dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL bagi tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut.
Tindakan tersebut dilaksanakan mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian WPKL 2016 serta Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Sementara itu, pihak JIM bersama PDRM dan JPN telah menjalankan pemeriksaan terhadap seramai 320 warga asing daripada pelbagai negara.
Daripada jumlah itu, seramai 186 individu ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.
Pecahan tangkapan melibatkan 118 warga Bangladesh, 28 warga Indonesia, 26 warga Myanmar, lima warga Vietnam, empat warga Nepal, dua warga India, seorang warga Pakistan serta dua warga China.
Kesemua individu yang ditahan dibawa ke depot imigresen bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
DBKL memaklumkan operasi bersepadu seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti bagi memastikan pematuhan undang-undang dan menjaga ketenteraman bandar.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan boleh menyalurkannya melalui saluran rasmi DBKL. -MYNEWSHUB
Sumber: DBKL



